Sunday, June 7, 2015

Kenang-kenangan ke-3 My Putrajaya News :p (40 pengantin bersanding)







PRESINT 5 – Sebanyak 40 pasangan pengantin selamat diijabkabulkan dalam Majlis Jelajah Raja Sehari Mega 2015 (Zon Tengah) yang merupakan penganjuran kali ketiga di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), disini.
Pengarah Program, Mohd Fitri Mohd Sapuan berkata, program jelajah tersebut itu merupakan kesinambungan kepada majlis yang diadakan sejak tiga tahun lalu di Putrajaya.
Tambahnya lagi, pada tahun ini sebanyak 40 pasangan telah dinikah dan disandingkan dalam satu majlis yang serba mewah dan meriah dengan hanya membayar RM5,000 bagi setiap pasangan.
“Segala kelengkapan termasuk persalinan, penginapan, pelamin, makanan, dan upacara perarakan pengantin menaiki kereta mewah telah disekalikan dalam satu bayaran.
“Selain itu, program ini sudah pasti dapat membantu belia dari sudut pengurusan kewangan secara berkesan apabila mereka tidak perlu membuat pinjaman untuk mendirikan rumah tangga,” katanya ketika ditemui.
Rulhelmi bersama pasangannya, Eva
Rulhelmi bersama pasangannya, Eva
Sementara itu, salah seorang peserta, Noor Ruhelmi Nordin, 27, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, berkata dia dan pasangan amat bertuah kerana terpilih untuk melangsungkan perkahwinan dalam majlis tersebut.
“Program sebegini amat berbaloi kerana ia memberi peluang kepada kami untuk berjimat dan lebih bersedia kehidupan selepas perkahwinan serta lebih penting kedua-dua keluarga turut memberi sokongan penuh.
“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan supaya lebih rama generasi muda dapat mempunyai keluarga tanpa perlu memikir masalah kewangan,” jelasnya.
Faiz bersama pasangan
Faiz bersama pasangan
Turut bersetuju, Ahmad Faiz Jamaludin, 30, kerana dia dan pasangan beranggapan wajar dilaksanakan bagi membantu meringankan beban pasangan mudah yang ingin mendirikan rumah tangga.
“Sekiranya tidak sertai program ini, mungkin saya dan pasangan terpaksa menunggu lama sebelum dapat mendirikan mahligai impian kami,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Negara,YB Senator Dato Khairudin E.S. Abd Samad yang merasmikan majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment