Rusni (tengah) dan Haitamin (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima Tokoh Guru 2015 dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2015
PRESINT 2 – Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya kali ke-9 telah diadakan di Dewan Seri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan, Presint 2, Putrajaya semalam.
Bertemakan “Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak” dihadiri lebih 500 tetamu yang turut sama meraikan Sambutan Hari Guru tersebut.
Rusni
Pengerusi Program, Puan Rusni Ab Jalil, berkata, Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah adalah bagi mengenang jasa guru yang rata-rata diraikan pada setiap tahun pada tarikh 16 Mei.
“Majlis ini telah dirancang pada awal tahun dan keseluruhan persiapan mengambil masa sebulan sejak awal Mei yang lalu.
“17 Jun dipilih sebagai hari sambutan kerana rata-rata sekolah menghadapi musim peperiksaan serta cuti penggal persekolahan baru-baru ini.” katanya.
Sementara itu, Anugerah Tokoh Guru 2015 menyaksikan Haji Mohd Yusof Hassan sebagai penerima anugerah, manakala Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2015 telah disandang oleh Haji Jamaluddin Yusoff.
Menurut Rusni, Sambutan Hari Guru pada kali ini membawa sedikit kelainan apabila pelbagai aktiviti telah dilakukan bersama sekolah dan guru-guru seperti senamrobik, bowling, futsal, bicara akademik dan ziarah terapi ke rumah-rumah guru yang sakit.
“Selain itu, pada 19 Mei yang lalu, Kad Ucapan Hari Guru Terpanjang melibatkan sekolah-sekolah seluruh Putrajaya telah berjaya memecahkan rekod dalam Malaysian Book Of Records dengan kerjasama YB Menteri Wilayah Persekutuan dan Jabatan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Tidak dilupakan jasa guru-guru yang banyak memberikan sumbangan kepada sekolah, serta mereka yang telah bersara diberikan sijil penghargaan dan cenderamata bagi mengingati jasa mereka.” katanya lagi.
Majlis telah dirasmikan oleh Naib Presiden Kanan Perbadanan Putrajaya, Datuk Haji Muhamad Haitamin Ishak.
No comments:
Post a Comment