Monday, June 29, 2015

Cerita saja-saja ke-5 :p (Majlis Buka Puasa Bersama Anak Yatim Di Presint 9)

Presint 9 - Seramai 40 anak-anak yatim Pusat Jagaan Baitus Sakinah Wal Mahabbah serta sekitar Putrajaya telah memeriahkan lagi Program Ukhwah Ramadhan dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Pejabat Belia Kawasan Putrajaya di Surau Putra Blok 1B, Fasa 1 Presint 9 baru-baru ini. 

Program tersebut telah mendapat kerjasama dari Majlis Belia Kawasan Putrajaya, Kelab Rakan Muda Putrajaya dan Persatuan Penduduk Fasa 1 Presint 9. 

Di taman terbuka berhadapan Surau Putra, pelbagai aktiviti diadakan seperti memasak bubur lambuk, menyediakan juadah berbuka, bergotong-royong serta beramah mesra dan pemberian sumbangan kepada anak-anak yatim. 

Majlis turut dirasmikan oleh Datuk Khairuddin, Pengerusi Majlis Perundingan Belia Putrajaya.

Antara aktiviti yang diadakan bersama anak-anak yatim ialah membina dan mewarna bangunan dari kotak-kotak terpakai mengikut kreativiti masing-masing dan dipantau oleh beberapa orang guru serta ahli Rakan Muda. 

Pegawai Pejabat Belia dan Sukan kawasan Putrajaya, Siti Rahayu berkata, tujuan mengadakan program ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara penduduk Fasa 1, memberi pendedahan kepada para peserta melakukan khidmat masyarakat serta mengimarahkan bulan Ramadan ini. 

"Program ini juga menambahkan elemen kesyukuran iaitu memberi sumbangan kepada anak yatim dan melahirkan minat menyertai rewang dalam kalangan anak muda," katanya lagi.  

Sementara itu, Setiausaha Majlis Belia Kawasan Putrajaya, Joi Rizal berkata, Presint 9 Fasa 1 ini dipilih untuk mengadakan program ini kerana kawasan ini sudah terkenal dengan panjut dan akan dinyalakan pada waktu malam serta penduduknya juga aktif menyertai program di sini. 

Salah seorang anak yatim dari Presint 9 Fasa 1, Natasha, 9, berkata, beliau telah ditemani oleh abangnya ke Program tersebut dan menjelaskan keadaan tangannya yang berbalut kerana tangannya patah selepas jatuh dari basikalnya di atas jalan raya pada hari khamis lepas. 

"Saya berasa gembira kerana dapat datang ke program ini dan berseronok dan bermain dengan kawan-kawan yang lain di sini," katanya ketika ditemui. 

Seorang lagi anak yatim dari Pusat Jagaan Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Majidah, 10, berkata, beliau berseronok melihat dan bermain dengan panjut serta aktiviti membina bangunan bersama-sama kawan-kawannya.







No comments:

Post a Comment