PRESINT 4 - Majlis Tadarus Dan Khatam Al-Quran Perdana kali ke-6 telah diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) pagi tadi.
Pengerusi program, Datin Zuraidah, berkata, Majlis Tadarus Dan Khatam Al-Quran Perdana merupakan program tahunan Badan Kebajikan Mutiara Putrajaya pada minggu ketiga bulan Ramadan.
“Majlis ini dirancang sebelum bulan Ramadan dan keseluruhan persiapan mengambil masa sepanjang bulan Ramadan ini,”katanya.
Beliau berkata, tujuan mengadakan majlis tersebut adalah untuk mengumpul wanita dari kumpulan-kumpulan tadarus dari surau-surau sekililing Putrajaya serta mengeratkan silaturrahim antara wanita.
“Selain tadarus Al-Quran dan khatam Al-Quran, majlis diserikan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan iaitu johan Qariah Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa tahun 2009, Ustazah Sharifah Khasif.
“Kelainan pada majlis kali ini ialah jumlah peserta adalah sangat besar dan ini merupakan kali pertama kami menjemput Ustazah Sharifah Khasif sebagai tetamu jemputan yang membimbing tadarus Al-Quran ini,” katanya lagi.
Seramai 500 peserta dengan tema pakaian berjubah putih dan bertudung ungu telah mengimarahkan masjid untuk menyertai Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran tersebut.
“Harapan saya ialah semoga majlis ini diteruskan pada masa-masa akan datang dan semoga tahun depan jumlah peserta tidak berkurang tetapi semakin bertambah insyaAllah.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak MTMZA kerana telah bekerjasama dan memberikan peluang kepada kami mengadakan majlis di sini,”katanya ketika ditemui.
Datin Zuraidah
No comments:
Post a Comment