PRESINT 1 - Astaka Morocco yang terletak di tengah-tengah Taman Botani, Putrajaya merupakan seni bina Islam yang berkonsepkan seni bina Islam dari negara Morocco (Maghribi) telah menjadi semakin popular di kalangan pengantin baharu untuk mengadakan sesi penggambaran mereka.
Seni bina di sekitar taman Astaka Morocco cukup unik dengan ukiran-ukiran jawi pada dinding bangunan, ukiran seni bina yang berwarna-warni pada kolam, elemen air seperti air pancut serta keindahan lanskap di sekitarnya memberi rasa seperti berada di luar negara.
Astaka Morocco telah menjadi tumpuan dan lokasi pilihan ramai pengantin baharu dan juga bakal pengantin untuk mengadakan sesi penggambaran mereka kerana keindahan latar belakangnya serta seni binanya yang unik.
Ketika berada di Astaka Morocco, penulis berkesempatan untuk melihat sesi penggambaran yang dijalankan untuk pasangan pengantin baharu.
Menurut salah seorang pengapit perempuan, Nurfa, 22, beliau telah melawati Astaka Morocco banyak kali dan pernah ke sana untuk menemani kakaknya untuk penggambaran jubah-jubahnya bagi perniagaan pakaian onlinenya.
"Ada satu hari saya pernah melihat satu majlis perkahwinan pasangan pengantin diadakan di kawasan lapang Astaka Morocco yang bertema garden.
"Saya merasakan tempat ini unik dengan seni binanya yang berkonsep islam tradisional serta saya kagum melihat lanskapnya yang cantik," katanya ketika ditemui.
Beliau menambah, Astaka Morocco adalah tempat yang mesti dikunjungi oleh para pengunjung dan juga para pengantin kerana tempat tersebut memang cantik dan semakin popular di kalangan para pengantin baharu untuk mengadakan sesi penggambaran mereka.
No comments:
Post a Comment